“Bulan baik bulan Ramadan, tak nak besarkan isu, bukan tujan marketing,”- Ulas topik hutang, Dr Syahidah terkejut status FB viral

“Saya tak pernah kata saya tak nak bayar pinjaman bank. Status di laman Facebook yang dimuatnaik beberapa hari lalu sekadar luahan hati,” kata Dr Syahidah Zakaria yang masih terkejut dengan respon diterima selepas memuat naik status mengenai ‘hutang’.

Akui Dr Syahida yang merupakan usahawan Chocodap’s, dia tidak menyangka menerima ribuan maklum balas yang rata-ratanya kurang setuju dengan ulasannya mengenai pinjaman yang dibuat di salah sebuah bank 10 tahun lalu.

“Bulan baik bulan Ramadhan ini kalau boleh saya tak mahu ulas panjang mengenai hal ini. Jauh sekali muatnaik status berbentuk provokasi.

“Saya nak tekankan di sini sepanjang saya membuat loan, saya tidak pernah culas bayar setiap bulan. Sewaktu saya masih bergelar penjawat awam, saya bayar RM 1600 setiap bulan dan lepas bekerja swasta, saya bayar lebih dari sebelum ini sekitar RM 1800.

“Selama 10 tahun saya dah bayar, sudah tentu bila saya tengok balik jumlah baki yang perlu dilunaskan, saya terkejut. Banyak lagi tertunggak walhal saya dah bayar setiap bulan tanpa gagal sejak 10 tahun lepas. Itu sekadar luahan perasaan saya di Facebook. Tak perlu komen dengan kata-kata cacian yang boleh mengguris hati sesiapa yang membaca” katanya.

Baki yang perlu dilangsaikan

Tambah Dr Syahida yang menetap di Ipoh, sepanjang tempoh 10 tahun ini dia turut melakukan pelbagai jenis bisnes untuk melunaskan pinjaman bank.

“Kalau saya bukan jenis yang tak bertanggungjawab, tak mungkin saya buat macam-macam bisnes dan kini fokus dengan dunia coklat untuk bayar hutang. Saya akan cari duit untuk selesaikan kerana saya tahu Hutang tetap hutang.

“Netizen yang membaca status saya, kalau boleh jangan menulis tanpa berfikir. Saya mengulas mengenai riba, selepas itu banyak komen yang masuk menegur. Tak perlu bercakap mengenai hal-hal interest dan lain-lain, saya faham benda itu sejak dari awal lagi mohon loan.

“Cuma apa yang bermain di fikiran bila loan tak susut selepas 10 tahun, ada kemusykilan di situ.

“Apapun, tak perlu panjangkan isu. Saya akan ke bank untuk minta penjelasan untuk pemahaman saya di masa akan datang. Sebagai peminjam saya tak akan lari dari tanggungjawab cuma apa yang saya tulis di FB itu sekadar luahan perasaan yang musykil. Itu sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Syahida juga menafikan status itu dimuatnaik untuk tujuan marketing.

“Banyak lagi cara saya boleh buat untuk tujuan naikkan bisnes tetapi siapa yang kenal saya, pasti mereka tahu saya bukan begitu orangnya. Rasanya cukup sampai sini sahaja dan saya minta netizen tidak perbesarkan isu ini lagi,” akhirinya.

Comments

  • No comments yet.
  • Add a comment