Ibarat dapat peluang kedua, Mama Pya kongsi pengalaman bertarung dengan Covid-19

“Saya ibarat diberi peluang hidup semula,” demikian kata Mama Pya atau King Safiyah Kamsani yang baru sahaja keluar dari Hospital Serdang, kelmarin.

Mama Pya yang disahkan dijangkiti wabak Covid-19 pada 1 September lalu berkongsi pengalaman sukar sejak dua minggu lalu.

Berkongsi bersama pengikutnya di laman Facebook, Mama Pya dilihat masih belum sihat sepenuhnya gara-gara wabak Covid-19 yang membuatkan sebahagian besar paru-parunya rosak.

“Saya dan keluarga membuat swab test pada 31 Ogos lalu selepas ada kontak rapat dengan Umi. Pada masa itu, simptom masih belum jelas. Bila keputusan swab test keluar esoknya, pada awalnya keadaan saya biasa saja cuma sedikit lesu.

“Keadaan bertambah teruk pada hari ketiga. Saya dan kakak mengambil keputusan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Shah Alam untuk serah diri. Sekurang-kurangnya di sana, ada doktor dan jururawat yang akan memantau keadaan dari masa ke semasa.

“Dalam perjalanan ke sana, saya beberapa kali muntah sehingga terpaksa berhenti di tepi jalan. Alhamdulillah mujur ada kakak di sebelah. Simptom dia tak begitu teruk macam saya,” kongsinya.

Tambah Mama Pya, ketika berada di CAC Shah Alam, paras oksigen dalam badan semakin menurun manakala tekanan darah naik mendadak.

“Saya muntah sampai 12 kali sehari, pening kepala tak surut. Keadaan saya tidak begitu baik sehingga saya perlu dirujuk ke Hospital Serdang. Dengan sehelai sepinggang, saya dibawa ke sana menaiki ambulans,” katanya.

Mama Pya memberitahu dia bersyukur dilayan begitu baik oleh doktor dan jururawat di hospital sepanjang dua minggu di sana.

“Tipu kalau saya kata mental tak koyak sepanjang di hospital. Menangis dan rasa down setiap hari sehingga saya call anak-anak pun menitis air mata.

“Mujur doktor yang merawat saya banyak memberi kata-kata semangat tanpa henti setiap hari. Kata seorang doktor wanita berbangsa Cina yang merawat saya, “You kena fight. Ini permainan mental, mental kena lawan kesakitan yang you rasa. Tambah doktor saya jangan fokus nak balik, kena fokus untuk sihat semula. “Result paru-paru you tak cantik, tapi kami akan agresif untuk sihatkan awak balik”. Saya betul-betul terharu bila dia pesan begitu.

“Alhamdulillah kelmarin, 12 September 2021 saya dibenarkan pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, keadaan saya masih belum sihat sepenuhnya. Kepala masih pening, badan menggigil dan muntah-muntah.

“Doakan saya kembali sihat seperti dulu kerana saya dah tak sabar nak aktif berniaga Chocodap’s semula,” pesannya yang meminta agar semua yang membaca artikel ini kekal menjaga SOP dan kesihatan.

Comments

  • No comments yet.
  • Add a comment