Jangan pisahkan coklat dan kanak-kanak, ini sebabnya!

Kanak-kanak dan coklat memang sangat sinonim. Ramai kanak-kanak dan orang dewasa jatuh cinta dengan kesedapan coklat tetapi ramai juga yang risau gigi akan rosak dan badan pula ‘membesar’.

Mungkin tidak ramai ibu bapa sedar bahawa kandungan di dalam coklat itu juga mengandungi khasiat untuk tumbesaran kanak-kanak. Cuma, pemberian coklat kepada si kecil biarlah berpada. Jangan pula ‘over limit’. Tapi ibu-bapa juga perlu tahu, terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa coklat yang dihasilkan daripada koko ini memberikan manfaat dari segi kesihatan.

Apa yang ada dalam coklat?

Coklat mengandungi karbohidrat, protein, lemak, dan vitamin; yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak. Selain itu, coklat juga mengandungi antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas. Coklat juga dapat membantu anak anda melegakan tekanan dan menenteramkan emosi mereka. Malah, antioksidan ini juga mampu membaiki dan menguatkan sistem imunisasi badan si manja.

Kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak mengambil coklat kerana kandungan kafein yang ada pada coklat. Malah, ada juga ura-ura yang mengatakan kandungan kafein yang ada dalam coklat menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif dan sukar tidur. Namun, tahukah anda sebenarnya kafein yang ada dalam coklat adalah sangat kecil jumlahnya daripada yang ada dalam secawan kopi. Sebagai contoh, satu auns coklat adalah 5 miligram. Sementara, satu cawan kopi mengandungi antara 93 dan 153 miligram kafein secawan. Jadi, pengambilan coklat dalam kuantiti yang sedikit dan sekali-sekala adalah tidak memudaratkan kesihatan anak anda.  

Selain itu, coklat juga mengandungi magnesium yang dapat membantu membina otot dan menguatkan tulang kanak-kanak. Malah, kandungan tenaga dan protein yang ada dalam coklat adalah baik untuk menambahkan stamina kanak-kanak terutama di peringkat usia mereka yang sedang lasak.

Ramai juga ibu bapa yang mengalami masalah anak cerewet makan. Namun, dengan memberi anak makan coklat, anda tidak perlu risau kerana secawan coklat panas boleh membantu meningkatkan selera makan anak anda.

Benarkah coklat boleh merosakkan gigi kanak-kanak?

Ramai ibu bapa yang percaya bahawa pemberian coklat kepada kanak-kanak boleh menyebabkan gigi mereka rosak. Namun, menurut Lembaga Koko Malaysia, kajian yang dilakukan menunjukkan sebenarnya salah satu bahan yang ada dalam serbuk koko dapat menghalang pembiakan bakteria daripada membentuk plak gigi. Malah, kandungan fosforus pada coklat dapat menguatkan gigi kanak-kanak.

Selain itu, lemak koko yang merupakan bahan asas dalam pembuatan coklat juga adalah mudah cair di dalam mulut. Jadi, coklat yang dimakan anak anda tidak akan tersimpan lama di dalam mulutnya. Oleh itu, pembentukan plak dapat dicegah.

Kredit: https://hellodoktor.com/keibubapaan/penjagaan-kanak-kanak/khasiat-coklat-untuk-kanak-kanak/#gref

Comments

  • No comments yet.
  • Add a comment