Meskipun memiliki rangkaian cawangan tadika di beberapa lokasi, pemilik nama Mior Jalaluddin bin Jamaluddin masih mahu mencuba nasib dalam cabang bisnes lain.
Semangat untuk terus mencuba sebagai peniaga coklat semakin ‘menjadi-jadi’ selepas negara dilanda pandemik tahun lalu.
“Saya memulakan perniagaan dengan membuka tadika pada tahun 2012. Segalanya lancar dan dipermudahkan malah saya berjaya mempunyai enam cawangan tadika yang terletak di Alam Impian dan Bukit Naga, Shah Alam.
“Namun perjalanan saya dalam bisnes mula diuji selepas negara dilanda wabak Covid-19 pada tahun lalu.
“Ramai anak-anak murid yang tarik diri daripada mengikuti kelas berikutan bimbang dengan keadaan semasa. Kes pula kian meningkat, sudah tentu ibu-bapa risau hendak hantar mereka ke tadika,” kongsinya.
Bapa empat anak ini juga tidak menafikan turut tertekan dengan segelintir ibu-bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sistem pengurusan tadika miliknya.
“Ada yang mengadu yuran tidak sesuai dengan cara pembelajaran, guru tidak cekap kendali kelas dalam talian, tiada bantuan ibu-bapa dan masalah kelajuan internet jalur lebar bagi guru yang mengajar dari rumah,” katanya.
Meskipun menerima ujian bertalu dalam bidang perniagaan, Encik Mior tidak menjadikannya sebagai alasan untuk dia menyerah.
“Saya tidak mahu ego hanya disebabkan saya merupakan seorang pemilik tadika, saya tidak mahu mencuba perniagaan lain.
“Dalam situasi begini saya perlu mencari alternatif lain. Atas sebab itu saya mula menyertai perniagaan coklat bersama Chocodap’s.
“Alhamdulillah walaupun masih baru dalam dunia coklat, saya nampak hasilnya. Sementara menunggu wabak dan dunia untuk pulih sepenuhnya, saya mahu mencuba dalam bisnes makanan kerana saya tahu makanan mempunyai permintaan tinggi dalam apa jua keadaan sekalipun,” jelasnya.
Difahamkan, Encik Mior juga mempunyai butik coklat sendiri yang terletak di Alam Impian, Shah Alam.
Sanisah binti Hashim
05/17/2021 at 5:49 PMkejayaan luar biasa dtgnya dr usaha yg luar biasa. Semoga terus berjaya.