‘Covid-19 hampir meragut nyawa saya’- Dr Azizan kongsi pengalaman dijangkiti Covid-19

Kita belum menang! Jangan leka apabila berada di luar, kekal jaga Standard Operating Procedure (SOP) seperti yang ditetapkan Kerajaan bagi melawan wabak Covid-19.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita bahawa pakar motivasi dan penceramah, Datuk Azizan Osman disahkan dijangkiti wabak COVID-19 selepas berkontak rapat dengan seorang pesakit yang sama pada 7 Januari lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Azizan memaklumkan 31 ahli keluarganya lain turut dijangkiti wabak tersebut.

Lebih memilukan, ibu mentuanya meninggal dunia akibat pandemik COVID-19.

“COVID-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada pukul) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari – saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis! Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.

“Saya dan keluarga diuji dengan virus COVID-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti COVID-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah.

“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,” katanya dalam entri tersebut.

Azizan yang juga pengasas syarikat RichWorks International menambah, beliau hampir menitiskan air mata ketika berkongsi perkara ini, namun sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkannya lebih tabah.

“Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal… you tak boleh bernafas, you tak boleh tarik, you tak boleh hembus hanya gunakan mesin untuk terus bertahan dan melawan dengan otak, emosi dan diri.

“Kamu mahu hidup? Kamu mahu lawan? Itu la saatnya… Dan Insya-Allah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya. Peluang kedua ini bukan sekadar suka-suka.

“Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Azizan menyifatkan pandemik COVID-19, bukan hanya telah menjejaskan kehidupan ramai orang dalam meneruskan kelangsungan hidup, bahkan turut memberi kesan kepadanya.

“Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak, ada yang mencari rezeki di tempat sampah.

“Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan perniagaan. Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa. Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya,” katanya.

Difahamkan, Azizan ketika ini telah sembuh daripada wabak tersebut.

Kredit: Instagram Dr Azizan Osman

Comments

  • No comments yet.
  • Add a comment