Selamat jalan lagenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.
Penyerang bola sepak terkenal itu meninggal dunia pada usia 60 tahun, malam tadi.
Maradona mengalami serangan jantung di kediamannya di Tigre, Buenos Aires.
Maradona baharu saja pulih selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku pada otak awal November lalu.
Pasukan paramedik tiba di kediamannya namun ikon bola sepak itu tidak dapat memberi respon dan kemudiannya disahkan meninggal dunia, lapor Associated Press.
Presiden Argentina, Alberto Fernandez serta merta mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara.
“Anda membawa kami ke puncak dunia. Anda membuat kami sangat gembira. Anda adalah yang terhebat.
“Terima kasih kerana muncul, Diego. Kami akan merinduimu sepanjang hidup kami,” ujar Fernandez.
Maradona diiktiraf sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah, menjadi kapten ketika Argentina memenangi Piala Dunia 1986.
Beliau juga diingati kerana meledakkan jaringan yang digelar ‘The hand of God’ ketika menewaskan England 2-1 di suku akhir saingan Piala Dunia pada tahun yang sama.
Kredit: mstar.com