Kekal produktif walau terkurung di rumah, ada caranya…

Sepanjang wabak Covid-19 menyerang, semua penduduk dunia dikehendaki duduk rumah dan kurangkan pergerakan di luar. Rata-rata daripada kita juga disarankan untuk bekerja dari rumah bagi memutuskan rantaian wabak ini dari muka bumi ini.

Tetapi bila duduk di rumah sahaja bukan alasan untuk kamu tidak produktif seperti hari biasa ke pejabat. Jangan pula bersandar di sofa sahaja, lakukan gerakan agar kesihatan berada di tahap memuaskan.

Berjalan 10,000 langkah sehari adalah tip yang diberikan pakar untuk memastikan kesihatan berada di tahap yang baik.

Memetik laporan Astro Awani, Tim Harrison yang merupakan pegawai perubatan di WatchPilot berkongsi cara untuk melakukan senaman ringan walaupun terkurung di rumah.

Mungkin ramai di antara anda yang rumahnya mempunyai tangga, sama ada yang duduk di rumah teres atau rumah bertingkat seperti kondominium ataupun flat.

Berita baik, jika tangga di rumah anda mempunyai 12 anak tangga, anda memerlukan tidak sampai 15 minit untuk mendapatkan 1,000 langkah, bergantung kepada kelajuan.

Jika mahu bakar lebih kalori, anda boleh cuba berlari. Tetapi hati-hati ya, takut tersadung pula nanti.

Ruang tamu

Berjalan di sekeliling rumah adalah idea yang bernas. Bagi yang mempunyai ruang tamu yang agak besar, anda boleh berjalan di sekeliling ruang tamu sambil menonton televisyen atau aplikasi dalam talian. Lakukan ini sebelum memulakan kerja, anda akan ada tenaga yang lebih untuk meneruskan tugas harian.

Sebelum makan

Duduk di rumah, memang asyik fikir nak makan. Gunakan ini sebagai satu kelebihan. Setiap kali rasa nak makan, berjalan di sekeliling rumah selama 15 minit, anda sekurang-kurangnya boleh menghabiskan 500 langkah dalam satu sesi.

Antara waktu kerja

Kalau duduk sahaja di kerusi, tentu membosankan. Apa kata ambil masa tiga minit dalam setiap waktu kerja, anda boleh lakukan kira-kira 250 langkah untuk setiap sesi. Selain bagus untuk jantung, ini juga membantu anda merehatkan mata

Comments

  • No comments yet.
  • Add a comment