Sebelum mula bisnes di musim pandemik, ambil tahu hal ini…

Untuk memulakan sebuah perniagaan bukanlah satu perkara mudah terutamanya saat pandemik COVID-19 melanda dunia. Ramai yang terjejas bukan saja dari pendapatan malah emosi juga turut terkena kesannya. Sebelum memulakan bisnes, belajar beberapa perkara bagi memastikan kelangsungan perniagaan terus kukuh di musim pandemik ini.

Tetapkan hala tuju perniagaan

Sama ada menjadikan bisnes pilihan terakhir menjana pendapatan, sekadar minat atau serius menjadikan perniagaan sebagai kerjaya, penting untuk menetapkan hala tuju sebelum memulakan sesebuah perniagaan.

Buat bisnes yang kita minat

Perjalanan membina perniagaan menjadi lebih mudah sekiranya melibatkan perkara yang disukai. Dengan itu, anda akan sentiasa bermotivasi dan mahu melakukan yang terbaik dalam urusan bisnes sekali gus memberi impak positif dalam perniagaan.

Berada dalam persekitaran positif

Perasaan kekok dan tidak selesa mungkin ada di peringkat permulaan tetapi dengan adanya sokongan serta kritikan membina daripada keluarga dan rakan-rakan secara tidak langsung anda dapat mempelajari ilmu baharu dan memperbaiki kesilapan. 

Mantapkan diri dengan ilmu

Mempunyai ilmu keusahawanan sebelum memulakan perniagaan adalah penting dan proses pembelajaran perlu diteruskan walaupun sudah mempunyai pengalaman mahupun kelulusan. Sentiasa belajar supaya potensi diri dan perniagaan dapat ditingkatkan ke tahap maksimum.   

Perkhidmatan terbaik untuk pelanggan

Letakkan diri anda sebagai pelanggan dalam setiap keputusan yang dibuat. Pastikan pelanggan menerima perkhidmatan terbaik dan keperluan mereka diutamakan. 

Perancangan teliti

Perancangan perniagaan perlu dilakukan lebih awal bagi menetapkan fokus kepada apa yang perlu dilakukan selain membantu mendapatkan keuntungan.   

Persediaan diri

Persediaan diri secara mental dan fizikal penting bagi mendepani pelbagai situasi sukar dan di luar jangkaan. Jangan terlalu selesa dan hanya mengikuti langkah dilakukan syarikat lain kerana cabaran dalam setiap perniagaan adalah berbeza. 

Cipta rangkaian hubungan

Rangkaian hubungan yang luas berupaya membantu memasarkan sesuatu produk atau perkhidmatan. Gunakan platform media sosial sebaik mungkin bagi mengembangkan rangkaian hubungan. 

Selain itu, cipta rangkaian hubungan baharu dengan individu berpengaruh besar dalam bidang perniagaan. Dengan rangkaian ini, pelanggan akan lebih yakin dengan produk yang ditawarkan. 

Pemasaran berkesan

Rancang pemasaran berkesan dengan teliti bagi menarik minat prospek terhadap produk atau servis yang ditawarkan. Tunjukkan idea berpotensi atau berkaitan dengan masalah prospek.

Jangan berputus asa

Kunci kejayaan sesebuah perniagaan adalah tidak mudah berputus asa. Sentiasa konsisten dan teruskan usaha walaupun terdapat pelbagai kemungkinan bakal berlaku sepanjang proses membina bisnes berjaya.

Kredit: Datuk Wira Dr Azizan Osman

Comments

mood_bad
  • No comments yet.
  • Add a comment