Diuji Strok Separuh Badan, Aida Syukur Mampu Berdikari, “Tenaga Saya Dah Tak Macam Dulu”

Diuji masalah kesihatan, pemilik nama Zuraidah Mohd Adif atau Kak Aida akui pernah down apabila berada di titik terendah dalam hidupnya selepas tidak berupaya bergerak seperti sebelum ini.

Kak Aida yang menginjak usia 40 tahun memberitahu dia tidak akan melupakan kejadian yang telah merubah hidupnya.

“Siapa sangka di usia 38 tahun, tiba-tiba saya jatuh sakit. Masih segar dalam ingatan ketika saya duduk di kerusi penumpang, adik sedang memandu kereta waktu itu. Tiba-tiba saja tangan kanan saya longlai. Bila saya cuba angkat, tangan jatuh semula.

“Saya cakap dengan adik untuk terus ke klinik berhampiran. Bila tiba di klinik, doktor buat pemeriksaan. Tak lama lepas itu saya terus dirujuk ke hospital. Rupanya saya kena serangan minor strok. Rasa gelap seketika dunia saya waktu itu. Dalam fikiran terbayang wajah mak abah,” katanya sambil berlinangan air mata.

Aida yang sebelum ini bertugas sebagai seorang kerani di syarikat swasta di Johor terpaksa melepaskan pekerjaan selepas empat tahun berkhidmat di sana.

“Saya akui tenaga saya tidak seperti dulu, pergerakan juga terhad dan saya tidak boleh bergerak laju. Dalam masa sama, saya faham sudah pasti syarikat perlukan seseorang yang boleh selesaikan kerja dengan cepat.

“Saya tidak diberhentikan kerja tetapi saya sendiri yang meletakkan jawatan. Di samping itu, saya juga nak fokus dengan proses pemulihan anggota badan agar dapat sembuh seperti sedia kala,” kongsinya.

Kongsi Aida, dia menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka bermula Disember 2019.

“Di sana, saya bertemu dengan beberapa kenalan baru. Selepas keluar dari situ, kami semua masih berhubung baik dan saling bertukar cerita.

“Tiba masa untuk memulakan tugasan di syarikat saya berkhidmat. Namun disebabkan keupayaan yang terbatas, saya tidak mampu untuk menjalankan tugas seperti dahulu. Lalu saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja” ujarnya

“Setelah berhenti kerja, saya berfikir untuk mencari peluang berniaga memandangkan saya ada pengalaman berniaga sebelum ini. Nak pendekkan cerita, Encik Haffis yang memperkenalkan Chocodap’s kepada saya dan dia juga ajak bekerjasama berniaga coklat. Itulah permulaan kolaborasi kami,” katanya bersemangat.

Bermodalkan lapan kilogram coklat, ternyata itulah hikmah di sebalik dugaan yang ditempuh sebelum ini.

“Percaya tak dik, sebelum ini waktu makan gaji saya tidak begitu konsisten dalam beri wang bulanan kepada ibu-bapa. Tetapi selepas bersama Chocodap’s, segalanya jadi lain. Saya mampu untuk beri mereka wang setiap bulan malah saya juga dapat melunaskan zakat dan juga Infaq kepada golongan memerlukan.

“Allahuakbar…ternyata selepas segala ujian yang hadir sebelum ini rupanya ada pelangi yang Allah SWT hadiahkan untuk saya.

“Doakan agar saya terus dikurniakan kesembuhan semula dan dapat bergerak cergas seperti dahulu. Saya nak fokus untuk maju dalam bisnes Chocodap’s bukan untuk Berjaya seorang diri tetapi saya juga mahu bantu rakan-rakan yang senasib dengan saya. Doakan saya,” akhirinya.

Comments

mood_bad
  • No comments yet.
  • Add a comment