Siapa kata jual coklat takda masa depan? Pasangan ini buktikan mampu bergelar jutawan di usia muda!

Anda tuai apa yang anda tanam.

Pahit jerih pasangan usahawan Encik Farhan Zainuddin dan isteri, Ticer May Sarah Nadiah Meor Mohamad akhirnya membuahkan hasil selepas enam tahun berjuang membawa jenama coklat, Chocodap’s sebelum tiba ke puncak.

Mengimbau kembali detik awal pasangan ini mula berniaga, Encik Farhan selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) Chocodap’s menyifatkan kejayaan Chocodap’s merupakan hasil kerja keras untuk mengubah hidup selepas berkahwin.

“Kisah hidup kami bukanlah seperti dalam drama di televisyen yang memaparkan anak muda yang duduk di kerusi Ceo sebaik pulang daripada luar negara. Saya dan isteri dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga serba sederhana.

“Selepas tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memegang Ijazah Sarjana Muda Kimia Industri, saya diterima bekerja sebagai Juruaudit di salah sebuah pasaraya terkemuka manakala isteri pula bertugas sebagai guru di sekolah Kerajaan. Pada waktu itu, kami menjalani kehidupan seperti orang lain yang bekerja dari 9 pagi hingga 6 petang. Alhamdulillah kehidupan kami berdua cukup makan dan pakai,” kongsinya yang rancak bercerita.

Niat ubah hidup

Salah satu cara untuk ubah taraf hidup untuk lebih selesa adalah dengan berniaga. Perniagaan adalah sumber rezeki terbesar malah ada sebuah hadis menyatakan ‘9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan’.

Kongsi Encik Farhan, pengalaman dibesarkan dalam keluarga berniaga membuatkan mereka berhasrat untuk mengikut jejak serupa.

“Bapa mertua berniaga kedai makan manakala ibu saya pula mengusahakan perniagaan tadika. Membesar dengan melihat mereka berniaga, kami juga mahu ikut jejak mereka. Cuma saya masih was-was untuk berhenti kerja kerana pada waktu itu isteri bakal melahirkan anak tidak lama lagi.

“Sebagai ketua keluarga sudah tentu banyak hal perlu saya ambil kira sebelum berhenti. Namun begitu, aturan Allah SWT amat indah. Perasaan takut itu mula hilang malah bertukar yakin untuk mencuba,” ujarnya.

Perjalanan onak duri

Sebelum tercetus wujudnya jenama Chocodaps, pasangan ini pernah cuba menjual beberapa produk malah Ticer Sarah juga pernah menjual kek buatan sendiri.

Kongsi Ticer Sarah, idea untuk memulakan bisnes coklat didorong melalui pengalaman lalu.

“Pada Oktober 2015, saya ajak suami untuk start bisnes. Untuk saya, jual coklat tak ‘renyah’ berbanding produk makanan lain. Permintaan pula sentiasa ada. Sesungguhnya, kami bermula dari zero. Tanpa dibantu sesiapa, semua urusan perniagaan dilakukan di pangsapuri kos rendah yang disewa waktu itu.

“Waktu itu anak masih kecil (seorang berusia dua tahun dan seorang lagi memasuki usia tiga bulan). Tak kenal erti penat ketika itu. Bayangkan kami tinggal di tingkat lapan dengan lif selalu rosak dan saya mengangkat coklat berkotak-kotak sampai ke atas.

“Memandangkan kami masih belum mampu membayar pekerja pada waktu itu, segala urusan pemasaran, layan pesanan ringkas, urus penghantaran kepada ejen dan pelanggan dilakukan kami berdua. Tahun 2016 merupakan tahun paling mencabar buat kami berdua memandangkan kami dalam fasa nak ‘mendaki’ lagi,” katanya.

Ruangan kedai pertama yang disewa di tingkat bawah pangsapuri.

Tambah Farhan, kehidupan mereka sekali lagi diuji selepas anak kedua memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Saya perlu berulang alik ke hospital untuk bawa dia menjalani rawatan. Waktu itu saya masih bekerja di tempat lama. Urusan bisnes masih berjalan seperti biasa. Dengan kesibukan yang semakin bertambah, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan fokus sepenuhnya dengan bisnes,” katanya.

Halangan sebelum ke puncak

Akui bapa tiga anak ini, keputusan untuk berhenti kerja untuk fokus dengan perniagaan pada awalnya ditentang keluarga.

“Sebagai orang tua, mungkin mereka bimbang jika percaturan kami tidak berhasil. Kami tidak kecil hati malah nekad untuk membuktikan angan-angan boleh menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah selepas hampir enam tahun, here we are! Syukur kami dapat membuktikan kepada ibu-bapa segala usaha akhirnya dibalas dengan kejayaan berganda. Bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada ibu-bapa malah syarikat di bawah jenama Chocodap’s berjaya mengubah hidup puluhan ribu usahawan,” kongsinya gembira.

2019- kini tahun cemerlang

Sejak 2019, wajah Encik Farhan Zainuddin dan Ticer Sarah mula menghiasi dada akhbar dan televisyen. Pernah muncul dalam segmen khas di program televisyen antaranya Nona TV3, Selamat Pagi Malaysia RTM & Bernama, kisah kejayaan pasangan ini mula mendapat perhatian.

Pada masa ini, syarikat mempunyai lebih 40,000 ejen dan dropship berdaftar dan turut dibantu oleh 40 kakitangan yang cukup komited.

Bagi melancarkan operasi harian, Chocodap’s kini dibantu oleh 40 kakitangan berdedikasi.

Dengan sistem pengurusan, strategi cekap, Chocodap’s berupaya menghasilkan jualan lebih 30 tan coklat dalam tempoh sebulan.

Dari orang biasa ke luar biasa, dari bilik kecil sampai ke gudang, pasangan ini terus terbang tinggi dengan pembukaan pejabat serta gudang kedua yang beroperasi di Sendayan, Negeri Sembilan sejak Jun lalu.

Hasil berniaga Chocodap’s, pasangan ini juga mampu berkongsi rezeki dengan ahli keluarga dan juga kakitangan. Buktinya, Ticer Sarah berhasil menghadiahkan sebuah rumah yang selesa untuk didiami oleh kedua ibu-bapanya.

Bukan itu sahaja, pasangan ini turut membeli sebuah kenderaan selesa untuk kegunaan ibu-bapa.

“Rezeki yang dikurniakan pada hari ini juga berkat doa kedua ibu-bapa kami. Alhamdulillah bila dapat rezeki lebih, sudah tentu kami mahu senangkan ibu-bapa dulu.

“Dengan keuntungan berniaga, kami dapat melangsaikan hutang ibu-bapa. Saya nak tengok mereka senang hati dan tidak perlu memikirkan beban hutang di hari tua. Dalam masa sama, saya juga dapat membayar kos perubatan bapa sebanyak RM 30,000,” ucapnya syukur.

Hasil berniaga coklat, Ticer Sarah menghadiahkan ibu-bapanya sebuah kediaman selesa.

Pemilihan lokasi terbaharu dibuat selepas pasangan hebat ini membeli rumah dua tingkat yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Amazing! Ticer Sarah di kediaman terbaharu mereka yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Encik Farhan dan isteri, Ticer Sarah bergaya di samping kenderaan milik mereka, Mercedes Benz.

Six years and still going strong, doakan Chocodap’s terbang lebih tinggi seterusnya dapat membantu lebih ramai usahawan coklat di luar sana!  

Comments

mood_bad
  • No comments yet.
  • Add a comment