Gastrik bukan alasan ‘ponteng’ puasa

Masalah gastrik yang dialami oleh sesetengah orang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menunaikan ibadah puasa yang merupakan rukan Islam ketiga.

Pakar pemakanan dari Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata, mereka yang telah lama menghidap penyakit itu sepatutnya membuat persiapan tertentu bagi membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan lancar.

“Sebelum Ramadan, biasakan diri dengan berpuasa, mungkin hari ini separuh hari, esok lusa boleh dilanjutkan lagi mengikut ketahanan perut. Secara tidak langsung, individu itu boleh menyesuaikan diri dengan keadaan enzim perut supaya perut tidak ‘terkejut’ apabila perlu berpuasa.

“Sebab itu, amalan berpuasa perlu dididik sejak kecil untuk dibiasakan dengan fisiologi tubuh dengan keadaan tiada makanan dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, pilih makanan yang bersesuaian selain perlu makan dalam jumlah sederhana, sama ada ketika bersahur atau berbuka.

“Ketika bersahur, elakkan daripada mengambil makanan pedas, berminyak dan berempah serta minuman yang mempunyai kafein tinggi seperti teh dan kopi.

“Sewaktu berbuka pula digalakkan untuk mengambil makanan ringan terlebih dahulu sebelum menikmati hidangan berat selain perlu minum air kosong yang banyak agar tubuh tidak mengalami dehidrasi,” katanya.

Menurutnya gastrik berlaku disebabkan jus atau enzim gaster dalam perut dirembeskan untuk mencerna makanan pada waktu tertentu dan ketika berpuasa enzim itu tetap dikeluarkan walaupun dalam kadar yang sedikit menyebabkan perut menjadi pedih.

Kredit: Bernama

Comments

mood_bad
  • No comments yet.
  • Add a comment