Kalau PKP datang lagi, jangan abai hal ini…

Dup dap dup dap…debaran dia macam tengah tunggu result SPM!

Mana taknya, pasti ramai yang sedang menanti pengumuman daripada Perdana Menteri yang dijadual diadakan pada petang ini untuk mengetahui sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berkuatkuasa semula.

Ini sebagai langkah pemulihan ekoran angka kes jangkitan yang naik mendadak sejak kebelakangan ini.

Sekiranya PKP bersambung, jangan abaikan tahap kesihatan terutama pada waktu ‘kritikal’ begini. Manfaat waktu yang ada dengan mengambil makanan sihat dan berkhasiat.

Pakar Nutrisi, Profesor Madya Dr Hamid Jan, berkata amalan penyediaan makanan di rumah, sekiranya dilakukan mengikut cara yang sihat, memberi pelbagai faedah dan manfaat pada tubuh.

“Makan di rumah sebenarnya jauh lebih sihat, berbanding jika kita makan di kedai, tetapi ia tetap tertakluk kepada cara penyediaan sesuatu masakan itu.

“Ketika inilah kita perlu menggunakan sebaiknya kesempatan yang ada untuk menyediakan hidangan sihat buat seisi keluarga, setelah sebelum ini kesempatan itu dibataskan dengan kesibukan bekerja atau urusan lain,” katanya kepada Berita Harian.

Dr Hamid berkata, orang ramai khususnya kaum wanita seharusnya tidak terpengaruh dengan pelbagai resipi yang tular di media sosial, bagi mengelakkan implikasi tidak sihat sebaik sahaja PKP berakhir.

Mengulas lanjut beliau berkata, ramai tidak menyedari bahawa obesiti adalah ibu kepada segala penyakit tidak berjangkit (NCD) atau lebih dikenali sebagai tiga serangkai, terdiri daripada hipertensi, diabetes dan jantung.

“Kita kena ingat, setiap lebihan kalori yang tidak dibakar akan bertukar menjadi lemak di dalam badan.

“Lemak ini tidak kelihatan, tetapi sedikit demi sedikit akan menebal di bawah lapisan kulit dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan,” katanya.

Sementara itu, jangan pula asyik tidur dan makan sahaja di rumah. Bersenam sekurang-kurangnya 20 minit sehari mengikut gerakan yang sesuai dengan pilihan masing-masing.

Tak salah untuk memasak dan makan tetapi janganlah setiap masa. Beri masa untuk perut berehat dan sambil itu lakukan aktiviti yang berfaedah agar badan kekal sihat.

Comments

mood_bad
  • No comments yet.
  • Add a comment